Wabak coronavirus yang melanda wilayah Wuhan di China dikatakan sedang merebak dan dijangka mampu tersebar ke seluruh dunia.

Di negara kita juga laporan penemuan pembawa pertama virus tersebut, dengan Kementerian Kesihatan Malaysia telahpun mengesahkan tiga individu yang kini telah dikuarantin di Sungai Buloh – berkait dengan satu penemuan 2 pembawa di Singapura melibatkan kumpulan pelancong 10 orang individu kesemuanya.

Banyak laporan berkenaan wabak dari Wuhan ini dilaporkan dengan pelbagai sumber dijadikan rujukan. Apa yang menarik berkenaan kes ini adalah berkaitan dengan jenis virus tersebut yang sebelum ini tidak pernah lagi direkodkan penemuannya kerana merupakan gabungan coronavirus daripada kelawar dengan sejenis lagi virus yang tidak diketahui puncanya.

 

Apakah itu Coronavirus?

Coronavirus merupakan sejenis virus yang menyebabkan radang paru-paru, dikatakan berasal dari pasaran makanan laut di bandar Wuhan, China. Wabak berkenaan dilaporkan menular pada akhir Disember 2019.

Tambahan daripada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa ianya muncul daripada sumber haiwan. Namun, Suruhanjaya Kesihatan China mengeluarkan sebuah kenyataan bahawa sumber virus berkenaan masih belum diketahui dan laluan penyebarannya belum dikesan sepenuhnya.

Antara gejala wabak berkenaan ialah mengalami demam dan kesukaran untuk bernafas. Apa yang membimbangkan lagi ialah tiada vaksin untuk virus itu buat masa ini.

 

Dari mana asalnya Coronavirus?

Sehingga Selasa petang, pihak berkuasa telah mengesahkan lebih 300 kes yang kebanyakannya berlaku di wilayah Hubei dan ibu kota Wuhan, iaitu sebuah bandar yang terdiri daripada 11 juta orang penduduk. Selain itu, wabak tersebut turut merebak ke beberapa bandar lain iaitu 14 kes di wilayah selatan Guangdong, 5 kes di Beijing, 5 kes di wilayah timur Zheijang, 2 kes di Shanghai dan Tianjin.
Di samping itu, kes yang sama juga dilaporkan di Thailand, Korea Selatan dan Jepun. Terbaru, Taiwan mengesahkan kes pertama mereka pada malam Selasa yang melibatkan seorang wanita berusia 55 tahun yang beru pulang dari Wuhan.

Oleh yang demikian, WHO telah memberi amaran bahawa coronavirus berkemungkinan akan tersebar ke negara-negara lain. Jadi, mereka akan menubuhkan sebuah jawatankuasa kecemasan mengenai virus berkenaan pada hari ini untuk mempertimbangkan pengisytiharan kecemasan kesihatan antarabangsa.

 

Bagaimana Coronavirus memberi kesan kepada manusia?

Menurut WHO, koronavirus adalah keluarga besar virus yang menyebabkan penyakit daripada selesema biasa kepada penyakit yang lebih berbahaya seperti sindrom pernafasan akut teruk (Sars) dan sindrom pernafasan Timur Tengah (Mers-CoV).

“Tanda biasa jangkitan termasuk gejala pernafasan, demam, batuk, sesak nafas dan kesukaran bernafas.

“Dalam kes yang lebih teruk, jangkitan boleh menyebabkan radang paru-paru, sindrom pernafasan akut yang teruk, kegagalan buah pinggang dan malahan membawa maut,” kata organisasi kesihatan itu.

 

Adakah ubat atau vaksin untuk menangani Coronavirus?

Menurut Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, tidak ada ubat atau vaksin untuk virus baru itu.

Beliau berkata satu-satunya rawatan yang boleh digunakan untuk pesakit positif dengan virus tersebut adalah melalui kuarantin dan merawat gejala seperti batuk, selesema dan demam.

Bagaimanapun, kerja-kerja untuk menghasilkan vaksin tersebut sedang diusahakan oleh banyak agensi kesihatan di seluruh dunia.

Menurut Wall Street Journal, beberapa pembuat ubat-ubatan di Amerika Syarikat (AS) dan penyelidik di University of Queensland di Australia kini antara pihak yang sedang bekerja keras membangunkan vaksin virus baru ini.

CNN juga melaporkan bahawa National Institutes of Health, agensi utama kerajaan AS yang bertanggungjawab untuk penyelidikan kesihatan bioperubatan dan penyelidikan kesihatan awam, juga sedang menghasilkan vaksin.

Satu pasukan saintis di Texas, New York dan China juga turut bekerja untuk menghasilkan vaksin terbabit, kata CNN, yang memetik Dr Peter Hotez, seorang saintis vaksin di Baylor College of Medicine di Houston.

 

 

 

Apa yang harus anda lakukan untuk meminimumkan risiko dijangkiti Coronavirus?

Menteri kesihatan menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguh perjalanan ke China berikutan wabak koronavirus kecuali atas urusan penting yang tidak boleh dielakkan.

Sekiranya masih perlu melawat negara itu, mereka dinasihatkan untuk mengamalkan langkah pencegahan seperti membasuh tangan menggunakan sabun, menggunakan pensanitasi tangan dan mengenakan topeng muka.

Mereka juga dinasihatkan mengelak mengunjungi tempat tumpuan ramai, ladang haiwan ternakan, pasar yang menjual binatang hidup, pusat sembelihan dan tidak menyentuh sebarang jenis haiwan.

Semasa dalam tempoh lawatan juga, dinasihat elakkan daripada memakan sebarang produk haiwan mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.

Mereka yang berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan juga perlu memaklumkan mengenai sejarah perjalanan kepada doktor yang merawat.

WHO juga turut membuat saranan yang sama.

 

 

 

Spread the love