Flu (influenza) adalah jangkitan hidung, tekak dan paru-paru disebabkan oleh virus influenza. Virus influenza mudah berjangkit. Kanak-kanak, wanita hamil, warga emas dan mereka yang mengalami penyakit kronik boleh mendapat jangkitan teruk dan ada kalanya membawa maut.

Tanda-tandanya ialah demam panas, batuk, muntah, cirit birit, sakit kepala, sakit tekak dan sukar bernafas. Influenza tidak sama dengan demam selesema kerana tanda-tandanya lebih teruk yang boleh mengancam nyawa.

Tidak seperti di negara beriklim sederhana, di negara tropika seperti Malaysia, musim puncak bagi influenza berlaku dari Oktober hingga Januari dan April hingga Jun.

 

 

  • Jenis A  : Boleh menjangkiti manusia dan haiwan, epidemik sangat teruk dan amat berbahaya
  • Jenis A (H1N1) : Boleh menjangkiti manusia dan haiwan. Kadangkala pandemik (seperti pada 2009 dan 2013) dan amat berbahaya
  • Jenis B : Boleh menjangkiti manusia. Sering berlaku, kurang teruk, ada kalanya berbahaya, tidak pandemi
  •  Jenis C :  Boleh menjangkiti manusia. Ringan, jarang berlaku, bukan epidemik

 

 

  • Endemik ialah penyakit yang sentiasa wujud dalam sesuatu komuniti atau populasi.
  • Epidemik ialah penyakit yang menyerang ramai orang dalam komuniti sekali gus dan merebak ke satu atau beberapa komuniti.
  • Pandemik apabila wabak merebak ke seluruh dunia.

 

 

Elakkan jangkitan influenza dengan cara :

Menutup mulut dan hidung dengan tisu/ sapu tangan ketika bersin
Basuh tangan dengan sabun selepas batuk dan bersin atau selepas menyentuh permukaan tercemar.
Hindari tempat awam dan jauhi tempat tertutup dan sesak
Pakai penutup mulut dan hidung (mask) untuk mengelakkan jangkitan influenza.
Pastikan anak-anak mendapat suntikan vaksin influenza.
Jika mendapat jangkitan kita perlu:
Mengambil ubat demam (untuk melegakan demam dan sakit kepala)
Minum air/minuman suam bagi melegakan sakit tekak dan batuk
Tidur/rehat secukupnya
Hindarkan stres
Jaga kebersihan makanan dan persekitaran.
Tingkatkam imuniti badan melalui pemakanan sihat dan pengambilan vitamin.
Jika berlarutan, dapatkan rawatan doktor.

 

PERTANYAAN MENGENAI INFLUENZA

1. Apakah simptom influenza?

Kebanyakan mereka yang menghidapi influenza berasa letih dan mengalami demam, sakit kepala, batuk tidak berkahak, berhingus atau hidung tersumbat, cirit-birit atau muntah-muntah dan sakit otot. Batuk boleh berlarutan sehingga dua minggu atau lebih.

2. Apakah perbezaan antara influenza dan selesema biasa?

Selesema biasa lazimnya menyebabkan hidung berhingus, bersin dan hidung tersumbat. Ia adalah jangkitan virus pada saluran pernafasan atas yang lazimnya tidak berbahaya dan berlaku pada bila-bila masa sepanjang tahun.

Influenza juga mempunyai simptom yang sama dan menjejaskan saluran pernafasan atas, tetapi ia terjadi dengan cepat dan lebih teruk. Virus yang menyebabkan influenza berbeza daripada virus yang menyebabkan selesema, influenza juga berlaku mengikut musim.

3. Bagaimanakah ia merebak?

Kanak-kanak yang dijangkiti boleh memindahkan virus influenza apabila batuk atau bersin, dan melalui hidung berhingus yang mengandungi titisan virus influenza. Orang lain boleh dijangkiti influenza apabila menyedut titisan terbabit atau titisan termasuk ke dalam hidung atau mulut mereka selepas tersentuh permukaan yang tercemar.

4. Sekiranya anak saya menghidapi influenza, sampai bilakah dia berpotensi menjangkiti orang lain?

Selepas 24 jam dijangkiti virus influenza dan lima hari selepas bermulanya simptom. Kanak-kanak yang lemah sistem imun boleh menjangkiti orang lain selama hampir dua minggu. Kanak-kanak yang dijangkiti boleh menyebar penyakit sebelum mereka sendiri berasa sebarang simptom.

5. Bagaimana saya boleh melindungi dan mencegah anak saya daripada influenza?

Cara terbaik untuk melindungi anak anda terhadap influenza adalah dengan memberi mereka vaksinasi apabila mencapai umur yang sepatutnya (enam bulan dan ke atas). Kanak-kanak berusia enam hingga lapan bulan memerlukan dua dos dalam tahun pertama mereka diberi vaksinasi. Pastikan anda mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

6. Adakah vaksin terbabit juga melindungi anak saya daripada selesema biasa?

Tidak, vaksin hanya melindungi anak anda terhadap virus influenza. Virus yang menyebabkan influenza dan selsema adalah berlainan jenis.

7. Apakah pilihan perubatan lain yang terdapat selain daripada vaksinasi?

Ubat antiviral boleh merawat influenza dalam kalangan kanak-kanak terutama mereka yang sakit teruk atau masuk hospital. Ia boleh memberi mereka kelegaan, mempercepatkan proses sembuh dan mencegah komplikasi influenza yang serius. Namun begitu, ubat antiviral memerlukan preskripsi doktor.

Jangan sekali-kali memberi aspirin atau ubat yang mengandungi aspirin kepada kanak-kanak atau remaja yang menghidapi influenza. Antibiotik juga tidak membantu kerana ia hanya berkesan untuk merawat jangkitan bakteria.

8. Adakah terdapat cara lain untuk mencegah influenza?

Cara terbaik untuk anak anda ialah vaksinasi. Bagaimanapun, beberapa tabiat dan amalan kebersihan juga boleh membantu :

• Jauhkan anak anda daripada kanak-kanak lain yang sakit

• Mencuci tangan menggunakan sabun dengan kerap

• Jauhkan tangan dari muka

• Tutup mulut dan hidung apabila batuk dan bersin untuk melindungi orang lain

• Makan secara sihat dan galakkan anak anda untuk lebih aktif secara fizikal.

9. Apa yang saya perlu lakukan sekiranya anak saya sakit?

Kebanyakan kanak-kanak yang menghidapi influenza akan sakit selama sekitar satu minggu, sejurus itu mereka akan sembuh. Walaupun begitu, dapatkan juga nasihat doktor dan pastikan anak anda berehat secukupnya dan banyak minum air kosong.

10. Bilakah patut saya bimbang? Hubungi doktor dengan segera sekiranya anak anda:

• Demam panas yang berlarutan

• Sukar bernafas atau nafas pendek

• Kulit bertukar menjadi biru

• Sukar minum air

• Kelihatan keliru atau mengalami sawan

• Mengalami simptom yang berulang

• Mempunyai masalah perubatan (asma, talasemia, penyakit yang dirawat menggunakan steroid dan lain-lain)

11. Bolehkah anak saya pergi ke sekolah?

Tidak, elak daripada menyebarkan virus, lebih baik mereka duduk di rumah dan berehat. Biarkan anak anda duduk di rumah sehingga suhu badannya normal melebihi 24 jam. Suhu badan sihat bagi kanak-kanak ialah 37 hingga 37.2°C. Demam ditakrifkan sebagai suhu badan 37.8 darjah Celsius atau lebih.

 

 

 

 

Spread the love